Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, kajian itu antara usaha menangani masalah ketagihan permainan video dan aplikasi media sosial dalam kalangan remaja di negara ini.

“Terdapat juga penyedia permainan video yang menyekat (remaja) bawah 17 tahun untuk berada (bermain), selama satu hingga dua jam dan selepas itu mereka di’offline’kan. Ini antara langkah yang boleh diambil dan kita kaji untuk memastikan ia dikawal,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Lukanisman Awang Sauni (PBB-Sibuti) mengenai langkah yang dilaksanakan kerajaan untuk membendung ketagihan permainan video yang menyebabkan masyarakat menjauhi aktiviti harian.

Menjawab soalan asal Lukanisman sama ada ketagihan permainan video dan aplikasi media sosial dikategorikan sebagai masalah mental, Boon Chye berkata, kedua-dua tingkah laku itu tidak menyebabkan gangguan mental tetapi ia boleh memberi kesan negatif terhadap seseorang individu. - Bernama