Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, rakyat Malaysia dilaporkan bekerja di negara seperti Singapura dan Australia kerana mendapat pendapatan yang lumayan.

Bagaimanapun, beliau berkata, sektor 3D di Malaysia pula menyaksikan lebih dua juta pekerja asing bekerja dalam bidang tersebut.

"Jika gaji dinaikkan dan inisiatif lain diberikan kepada mereka yang bekerja dalam sektor tersebut, saya percaya ramai rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara akan bekerja di negara ini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang ingin tahu adakah pengangguran dalam kalangan belia disebabkan kerja sektor 3D tidak menarik minat mereka kerana gaji yang rendah dan sanggup bekerja di luar negara berikutan tawaran gaji lebih lumayan.

Dalam pada itu, Kulasegaran berkata, seramai 516,400 belia berusia 15 hingga 24 tahun menganggur di negara ini pada tahun ini.

Beliau berkata, pengangguran dalam kalangan graduan pula melibatkan sebanyak 140,977 orang. - Bernama