Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sejak kerajaan memutuskan untuk menjual aset itu melalui tender terbuka, banyak tawaran telah diterima walaupun proses tender belum lagi dibuka.

Beliau berkata, kerajaan akan menjual aset itu kepada pembida nilai tertinggi, berbanding tawaran RM1.1 bilion yang diterima kerajaan terdahulu yang dibuat secara rundingan terus.

Proses tender rasmi bagi penjualan bangunan itu akan dilakukan melalui syarikat pakar hartanah, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Guan Eng turut menunjukkan bukti surat tawaran RM1.68 bilion yang diterima daripada sebuah syarikat guaman di Hong Kong, setelah dicabar oleh ahli Parlimen Ayer Hitam daripada Barisan Nasional, Datuk Seri Wee Ka Siong.

"Sebenarnya saya ada silap sikit, sebelum ini saya sebut RM1.6 bilion, sebenarnya harga yang ditawarkan adalah RM1.68 bilion daripada sebuah syarikat guaman dari Hong Kong.

"Saya kesal beliau (Ka Siong) cuba hina saya dengan tuduhan tak berasas. Kita akan edar surat ini, tapi daripada syarikat mana kita telah padamkan kerana tidak adil kepada mereka.

"Sekarang, saya minta dia kalau bermaruah letak jawatan kerana buat tuduhan tak berasas," katanya. - Bernama