Beliau berkata, cadangan pelan penstrukturan dan pemulihan semula TH akan dibentang pada mesyuarat Jemaah Menteri esok.

"Kabinet akan membincangkan secara terperinci isu berkaitan kedudukan kewangan dan perkara-perkara bersangkutan dengannya, termasuk kemampuan TH membayar hibah kepada pendeposit.

"TH akan membuat pengumuman dalam tempoh terdekat selepas Jemaah Menteri membuat keputusan," katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri menjawab pertanyaan Datuk Dr. Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang bertanyakan bila kerajaan akan mengumumkan bayaran hibah kepada 9.3 juta pendeposit TH.

Menurut Noraini, berdasarkan rekod lima tahun ke belakang, TH akan mengumumkan kadar hibah pada Februari, namun sehingga kini pengumuman mengenainya masih belum dibuat sehingga menimbulkan kegelisahan dalam kalangan pendeposit. - Bernama