RUU Levi Pelepasan 2019 itu diluluskan sehari selepas ia dibentangkan untuk bacaan kali kedua berikutan memberi laluan kepada pembentangan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam.

RUU Levi Pelepasan itu antara lain mengadakan peruntukan bagi pengenaan levi pelepasan ke atas orang yang meninggalkan Malaysia dan bagi perkara yang berkaitan dengannya.

Di bawah RUU itu juga hukuman akan dikenakan kepada mana-mana individu yang menghalang pegawai kastam bertugas termasuk mencabul atau mengancam nyawa mereka.

RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2018 pula bertujuan melindungi kepentingan pelajar-pelajar sekolah agama Islam termasuk sekolah tahfiz serta pihak-pihak yang berkenaan.

Terdahulu, ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, sekolah agama Islam kini ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan, justeru adalah penting untuk meminda Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).

Menurutnya, pindaan tersebut antara lain bagi memperluaskan kuasa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam mengawal selia perjalanan sekolah agama Islam Wilayah-wilayah Persekutuan selain daripada hanya kuasa untuk mendaftar.

"Pindaan kepada Akta 505 ini juga adalah untuk memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat MAIWP untuk membuat undang-undang subsidiari dalam bentuk kaedah-kaedah yang memperincikan secara lebih meluas peranan dan kuasa majlis dalam mendaftar dan mengawal selia sekolah-sekolah agama Islam," katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. - Bernama