Ia diluluskan pada sesi yang dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Abd. Halim Abd. Samad selepas 18 senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua berkata, Akta Perhimpunan Aman 2012 perlu dipinda bagi memberi lebih ruang kepada hak kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman selaras Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan iaitu kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

"Selain itu pindaan ini juga menunjukkan komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengimbangi keperluan antara hak asasi manusia dan sistem penyampaian kerajaan," katanya.

Pindaan RUU yang diluluskan Dewan Rakyat pada 4 Julai itu juga bertujuan memendekkan tempoh mengemukakan notis pemberitahuan bagi sesuatu perhimpunan daripada 10 hari kepada lima hari sebelum tarikh perhimpunan.

Ketika menggulung perbahasan, Mohd. Azis berkata, pindaan ini juga selaras komitmen PH dalam menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 antara lain untuk memansuhkan dan meminda undang-undang yang dianggap zalim.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan tidak bercadang memberi kuasa kepada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk mengawal perhimpunan aman.

"Jika berlaku kekecohan, pasukan Rela tiada kuasa seperti Polis Diraja Malaysia untuk ambil tindakan seperti menyuraikan perhimpunan atau membuat tangkapan," jelasnya. – Bernama