Selain menyifatkan cadangan berhubung pemasangan alat itu sebagai baik, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, langkah itu juga tidak menelan kos yang tinggi untuk dilaksana.

"Cadangan untuk (pemasangan) dashcam dari (Anggota Parlimen) Parit Sulong (Datuk Dr Noraini Ahmad) adalah satu cadangan yang baik," katanya semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2019 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, dalam sesi perbahasan di Parlimen, Noraini bertanya sama ada kerajaan mempunyai perancangan memasang dashcam di semua kenderaan bomba untuk tujuan keselamatan ekoran insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman awal minggu lepas.  

Kejadian itu menyaksikan antara lain anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika menyertai operasi memadam kebakaran dekat kuil tersebut. - Bernama