Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, panduan itu melibatkan empat kategori iaitu pembangunan semula bandar, pemulihan bandar, pemeliharaan bandar dan penyegaran bandar.

"Namun dalam konteks Malaysia, sehingga kini tiada perundangan khusus bagi pelaksanaan pembaharuan semula bandar. Justeru, satu perundangan baharu berkenaan perkara tersebut perlu diwujudkan," katanya pada persidangan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang ingin tahu jika kementerian bercadang memperkenalkan undang-undang baharu pembangunan semula bandar oleh pihak swasta seperti yang dilaksanakan oleh negeri-negeri seperti Hong Kong dan Singapura.

Sementara itu, Khalid berkata perumahan berteraskan prinsip "subsidi silang" akan diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan, namun dilaksanakan secara lebih telus dan tidak terlalu menguntungkan pemaju.

"Kita dapati walaupun konsepnya baik, dalam banyak pelaksanaannya menimbulkan persoalan kerana didapati terlalu banyak menguntungkan pemaju," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN-Putrajaya) berhubung pelaksanaan subsidi silang yang membolehkan pemberian rumah percuma kepada penduduk asal sesebuah kawasan tanpa menggunakan wang kerajaan seperti projek di kawasan Kampung Kerinchi dan Bandar Tun Razak. - bERNAMA