Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata, sikap itu juga dikhuatiri mendorong tabiat mengemis secara berterusan oleh golongan tersebut. 

"Penguatkuasaan melalui operasi menyelamat pengemis kurang berkesan andainya orang awam tidak bersungguh-sungguh untuk bersama membanteras aktiviti pengemisan dengan terus memberikan sumbangan kepada golongan ini," katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Khairudin Samad yang ingin tahu usaha-usaha kementerian dalam menangani isu kanak-kanak dan warga emas yang dijadikan ejen meminta sedekah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. 

Katanya, orang ramai yang ingin memberi derma kepada golongan yang memerlukan sebaiknya menyalurkan sumbangan mereka melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) supaya usaha derma dapat dikoordinasi dan dipantau.

Menurut Yeoh, sehingga Disember tahun lepas, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menjalankan sebanyak 2,584 operasi menyelamat pengemis yang mana seramai 3,472 orang berjaya diselamatkan termasuklah 355 kanak-kanak.

Katanya, sekiranya pengemis yang diselamatkan itu adalah kanak-kanak, mereka akan terus dirujuk ke tempat perlindungan untuk diambil tindakan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

"Pengemis dewasa warganegara yang tidak mempunyai waris dan berumur di bawah 60 tahun pula akan ditempatkan di Desa Bina Diri (DBD) dan pengemis yang berumur 60 tahun ke atas diberikan penjagaan dan perlindungan di Rumah Seri Kenangan (RSK) di bawah jagaan JKM.

"Pengemis bukan warganegara pula akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia manakala pengemis yang merupakan pelarian dirujuk kepada UNHCR," katanya.

Beliau berkata, kementerian juga bertindak sebagai urus setia kepada Sekretariat Menangani Isu Golongan Gelandangan bagi Membanteras Pengemisan di peringkat nasional yang mana jawatankuasa tersebut berperanan menyelaras program serta merangka tindakan bersepadu antara agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan sukarela yang berkaitan. - Bernama