Beliau berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di bawah kementerian itu kini sedang menggubal peraturan kerja bina bagi dimasukkan di bawah akta tersebut sekali gus akan menjadi mandatori kepada empunya, pereka bentuk, pembina dan kontraktor yang terlibat dalam industri pembinaan.

"Peraturan kerja bina itu nanti akan mengambil alih keperluan yang dinyatakan dalam garis panduan Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan dalam Pembinaan (OSHIM) dan akan memastikan semua yang terlibat dalam industri pembinaan akan mematuhinya," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) yang ingin tahu adakah kerajaan bercadang untuk memandatorikan garis panduan OSHIM untuk setiap pemaju industri terutamanya sektor pembinaan demi mengurangkan kejadian kemalangan waktu bekerja di tempat pembinaan.

Mahfuz berkata, kerajaan berhadapan cabaran yang sangat besar iaitu penambahan bilangan tapak bina di seluruh negara kepada 18,110 tapak bina pada tahun lepas berbanding 9,017 tapak bina pada 2013.

"Ini adalah cabaran yang kita hadapi dan sudah tentu akan ada kes-kes membabitkan tidak mengikut garis panduan dan kita bersedia ambil tindakan selepas menjalankan pemeriksaan dan audit terhadap tapak bina," katanya. - Bernama