Mohamad Ariff berkata, tindakan keras boleh diambil di bawah Peraturan Mesyuarat 44 (2), termasuk mengarahkan mereka keluar dari dewan untuk satu tempoh tertentu.

"Jika perkataan-perkataan ini disebut maka saya tegaskan sekali lagi bahawa saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana ahli Yang Berhormat yang gagal mematuhi peraturan-peraturan mesyuarat," katanya selepas selesai sesi soal jawab lisan.

Beliau merujuk kepada perkataan berbaur lucah yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam insiden pertikaman lidah antara Ahli Parlimen Kinabatangan itu dengan Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) dan Su Keong Siong (PH-Kampar) pada Selasa (7 Ogos).

Sambil melahirkan kekesalannya, Mohamad Ariff berkata, perkataan-perkataan kurang sopan juga pernah dikeluarkan oleh ahli-ahli Parlimen lain sebelum ini, yang mana ia tidak menghormati dan mencemarkan Dewan Rakyat. - Bernama