Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kementerian itu juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan supaya taska dapat diwujudkan di sekolah untuk kemudahan guru yang berkhidmat.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif untuk menggalakkan kewujudan taska di tempat kerja termasuk pemberian subsidi RM180 sebulan bagi yuran pengasuhan untuk seorang anak kepada pegawai yang pendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan.

"Bagi sektor majikan swasta pula, insentif pelepasan cukai boleh dituntut daripada kerajaan mengikut pekeliling Jabatan Hasil Dalam Negeri bertarikh 15 Februari 1996 yang mana pengecualian cukai 10 peratus selama 10 tahun bagi ubah suai dan penyenggaraan bangunan untuk penyediaan taska," katanya pada sesi Pertanyaan Menteri-Menteri di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Siti Zailah Mohd. Yusoff  (PAS-Rantau Panjang) berkenaan langkah segera kementerian dalam mengawal selia pusat asuhan kanak-kanak termasuk yang di rumah persendirian agar tragedi penderaan seperti yang dialami Allahyarham Adam Rayqal Mohd. Sufi tidak berulang lagi. - Bernama