Timbalan Menterinya, Chong Chieng Jen berkata, daripada jumlah itu, 785 aduan telah disiasat dan diselesaikan manakala baki 38 aduan masih dalam tindakan.

Beliau memberitahu, persidangan Dewan Negara bahawa sebanyak 205 notis di bawah Seksyen 21 (2) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah dikeluarkan bagi menganalisis serta melihat pematuhan peniaga terhadap aspek perundangan.

Katanya, daripada keseluruhan notis itu, 95 daripadanya telah dianalisis dan didapati tidak melakukan kesalahan mencatut.

"Selain itu, sejumlah 2,618 notis juga telah dikeluarkan di bawah Seksyen 53A akta sama bagi mewajibkan peniaga menyelenggara dan menyimpan rekod perniagaan mereka," katanya menjawab soalan Senator Rahemah Idris yang mahu kementerian menyatakan statistik terkini jumlah peniaga yang telah diambil tindakan akibat menaikkan harga barangan setelah pelaksanaan SST.

Chong berkata, bagi memastikan peniaga tidak menjalankan aktiviti pencatutan sewenang-wenangnya, kementerian melaksanakan pelbagai usaha seperti menjalankan pemantauan harga barangan keperluan asas serta mengaktifkan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara bagi membincangkan isu kos sara hidup secara holistik. - Bernama