Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Tey Kok Kiew berkata, ia melibatkan 27,880 petak parkir kenderaan di bawah pentadbiran empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.

Bagaimanapun katanya, kekurangan kutipan tersebut dijangka tidak memberi impak yang besar kepada pendapatan kerajaan negeri sekiranya langkah penjimatan perbelanjaan dilaksanakan dengan berkesan.

"Inisiatif pengecualian bayaran parkir kenderaan di negeri ini pada awalnya dilaksanakan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah melibatkan kawasan tumpuan pelancongan atau bandar, namun ia kemudian diperluaskan di tiga lagi kawasan pentadbiran PBT di negeri ini.

"Ia merupakan satu janji kerajaan negeri di bawah kepimpinan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas bagi meringankan beban rakyat selain merupakan tanggungjawab kerajaan untuk rakyat," katanya kepada pemberita selepas majlis melancarkan parkir percuma pada Sabtu, Ahad dan Cuti Umum Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), di sini hari ini.

Tey berkata, pada tahun lepas, kutipan hasil bayaran parkir kenderaan di negeri berkenaan berjumlah RM6.68 juta melibatkan tiga daerah di bawah pengendalian empat PBT di negeri itu.

Menurutnya, kutipan tertinggi ialah di kawasan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) iaitu sebanyak RM4.2 juta diikuti Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (RM2 juta), Majlis

Perbandaran Alor Gajah (RM258,945) dan MPJ (RM221,787).

"Jumlah petak parkir kenderaan tertinggi adalah di kawasan MBMB iaitu sebanyak 14,116 petak diikuti MPHTJ (8,497 petak), MPJ (3,055 petak) dan MPAG (2,212 petak)," katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan 27,880 petak parkir kenderaan di negeri itu, sebanyak 6,021 terletak di kawasan pelancongan manakala 21,859 petak di kawasan biasa. - Bernama