Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim berkata, meskipun latihan tersebut seakan-akan kawad tentera komunis, ia bukanlah menjadi isu besar buat pihaknya kerana latihan kawad yang diamalkan di negara ini juga adalah berasal dari negara British.

“Kita tidak boleh memberi pandangan negatif berkenaan isu ini kerana ia masih dalam kajian dan latihan sebelum mendapat kelulusan rasmi pelaksanaannya daripada pihak atasan.

“Sebab itu pihak ATM hanya diberi arahan untuk mengkaji dan menilai terlebih dahulu ‘goose step’ ini mengikut kesesuaian fizikal, pakaian, anggota dan sebagainya,” katanya selepas berucap pada Majlis Penutup Kejohanan Olahraga Tentera Darat ke-37, Tahun 2018 di Stadium Universiti Tenaga Nasional di sini hari ini.

Jelasnya, ATM kini sedang memberi latihan kepada beberapa kumpulan anggota tenteranya untuk mempelajari kawad tersebut selama dua minggu bermula 23 Julai lalu. - K! ONLINE