Mengikut Pandelela, beliau mula rasa sakit awal pada pagi ini, bagaimanapun beliau tidak menghiraukannya dan meneruskan penyertaan. Bagaimanapun selepas dua terjunan, beliau berkata, impak air semasa terjunan, menyebabkan ia semakin sakit.

"Selepas berbincang dengan jurulatih kami, saya rasa lebih baik berhenti untuk tidak menyebabkan ianya bertambah teruk, jadi kami mengambil keputusan untuk menarik diri daripada acara tersebut," katanya kepada pemberita di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil di sini hari ini.

"Ini kecederaan belakang yang lama, agak sedih ia datang kembali tiba-tiba pagi ini. Tetapi selepas rehat beberapa hari, saya rasa ia sepatutnya kembali ok," jelasnya.

Untuk rekod, pemenang pingat Olimpik itu telah mengalami kecederaan belakang sejak 2015, yang menyebabkan beliau terpaksa menarik diri, daripada beberapa kejohanan termasuk Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Sementara itu, acara itu yang disertai dua negara iaitu Malaysia dan Korea Utara, menjadi kontroversi apabila 'tiada pemenang' diistiharkan selepas penganjur mendapati terdapat kesilapan teknikal, melibatkan pasangan dari Korea Utara.

Pegawai Teknikal Piala Asia Tony Koh Kok Beng menjelaskan, salah seorang daripada penerjun Korea Utara yang mengambil bahagian dalam acara pagi ini, dipercayai tidak berada dalam senarai penerjun yang didaftarkan.

"Ketika acara sedang dipertandingan, pegawai teknikal mendapati salah seorang daripada penerjun tidak ada dalam senarai," katanya dan menambah, mengikut peraturan FINA, penerjun itu dibatalkan penyertaannya.

"Hanya terdapat dua pasukan sahaja yang menyertai acara ini. Disebabkan pasukan Korea Utara telah dibatalkan penyertaan dan pasukan Malaysia menarik diri, ini bermakna tidak ada pemenang bagi acara ini.

Acara tiga hari Piala Asia masuk hari kedua hari ini dengan disertai 11 negara dengan 13 acara dianjurkan. - Bernama