Mesra dengan panggilan Pak Wan, beliau berkata, minat terhadap aktiviti sukan tersebut tidak pernah berkurangan walaupun usianya semakin meningkat.

"Sukan berbasikal ini makin sebati dengan jiwa saya dan saban tahun keterujaan untuk berkayuh sentiasa menebal. Tahun ini, sekali lagi saya akan meneruskan minat saya ini dengan membuat kayuhan solo," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya lagi, usia yang semakin meningkat bukan halangan dan alasan untuk beliau boleh berpuas hati dengan pencapaiannya sebelum ini, apatah lagi aktiviti tersebut ternyata menyumbang kepada kecergasannya pada usia emas.

Kayuhan solo tersebut dijangka akan dapat disempurnakan dalam tempoh 29 hari sehingga 5 Mei ini merangkumi jarak sejauh 2,800 kilometer, sekali gus memberi peluang kepada warga emas itu untuk mencipta rekod keempat dalam Malaysia Book of Records (MBOR).