Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata kerajaan negeri tidak pernah meluluskan permohonan menukar hak milik tanah kepada bukan warganegara. 

"Dasar kerajaan negeri adalah kita tidak meluluskan permohonan tanah kepada warga asing, apatah lagi jika ia melibatkan tanah untuk tujuan pertanian.

"Bukan setakat tanah, malah untuk pemilikan harta jenis 'landed property' (kediaman di tanah) juga tidak diluluskan kepada warga asing," katanya ketika dihubung Bernama  di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Presiden Pencinta Alam Malaysia Khaidir Ahmad menerusi laman sosial bahawa warga China memonopoli ribuan hektar tanah di Bentong dan Raub dengan membuka dusun buah durian Musang King. 

Mengulas lanjut, Muhammad Safian juga berkata  kerajaan negeri tidak pernah meluluskan permohonan rakyat untuk membuka  tanah pertanian sehingga beribu-ribu hektar. 

"... mana ada tanah seluas itu (diluluskan). Bukan semudah itu kita hendak luluskan permohonan tanah, yang ada pun setakat 50 atau 100 ekar (kira-kira 20 ke 40 hektar) sahaja," katanya. - Bernama