Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembatalan itu juga akan merugikan ketiga-tiga negeri - Pahang, Terengganu dan Kelantan, yang mana kerja-kerja awal pelaksanaannya telah pun bermula.

"Di Pahang sahaja, kemajuan yang dicapai ialah antara 13 dan 14 peratus setakat ini. Malah, di tapak-tapak seperti Genting dan Bentong, kerja-kerja mengorek terowong bagi laluan bawah tanah ECRL telah pun bermula.

"Selain itu, kerja-kerja untuk pengambilalihan tanah sudahpun berada di peringkat Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri dan ini termasuk bagi tanah milik persendirian yang perlu kemudian diwartakan untuk ditetapkan jumlah pampasan kepada mereka," katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini hari ini.

Menurut rekod, seluas 3445.63 ekar tanah melibatkan1,545 lot tanah menerusi jajaran sepanjang 232.5 kilometer merentasi daerah Bentong, Temerloh, Bera, Maran dan Kuantan akan terlibat dengan projek ECRL.

Menurut Wan Rosdy, daripada jumlah keluasan itu, kira-kira 951.35 ekar  atau 27.6 peratus ialah tanah kerajaan manakala yang lain ialah tanah milik persendirian, tanah rizab Melayu dan hutan simpan kekal.   

"Sehubungan itu, saya merayu bagi pihak Kerajaan Negeri serta mereka yang terkesan teruk dengan pembatalan ini khususnya pekerja yang bakal diberhentikan agar kerajaan Persekutuan dapat mempertimbang semula keputusan itu," katanya. - Bernama