Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, sehubungan itu kerajaan negeri mengingatkan penduduk di kawasan rendah di tiga daerah berkenaan agar peka dengan persekitaran selain bersedia untuk berpindah jika diarahkan berbuat demikian.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang di sini hari ini beliau berkata, kerajaan negeri sudah bersedia menghadapi banjir tahun ini dengan 664 pusat pemindahan sementara (PPS) diwujudkan di semua daerah yang memapu menampung 160,000 mangsa.

Katanya, seramai 6,230 anggota dan pegawai pelbagai agensi berkenaan akan bertugas sepanjang musim banjir.

"Kita juga akan membuat hebahan awal di kawasan berpotensi banjir supaya penduduk di kawasan tersebut mengambil tindakan sewajarnya dan mempunyai gambaran jelas apa yang perlu dilakukan pada waktu itu," katanya.

Muhammad Safian berkata, kerajaan negeri juga telah mengarahkan jabatan dan agensi terlibat untuk membersih dan menyenggara sistem perparitan serta longkang untuk memastikan kelancaran sistem pengairan sekali gus tidak memburukkan lagi situasi banjir.

Katanya, jabatan terlibat juga sudah mengenal pasti jalan raya yang berpotensi terputus hubungan semasa banjir dan mencari laluan alternatif yang sesuai jika ada. - Bernama