Pengerusi PAC, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, ketiga-tiga mereka akan dipanggil minggu ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan tersebut.

"Ambrin akan memberi keterangan kepada anggota PAC pukul 11 pagi esok dan Madinah pula akan dipanggil menjadi saksi pada 5 Disember (Rabu) manakala Nafisah daripada Jabatan Audit pula pada 6 Disember (Khamis).

"Selepas itu, kami akan kenal pasti lagi beberapa saksi untuk dipanggil bagi membantu siasatan," katanya dalam sidang akhbar selepas membentangkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri kedua di Parlimen hari ini.

Pada 25 November lalu, Madinah dilaporkan mendedahkan bahawa beberapa bahagian dalam laporan audit 1MDB itu dikeluarkan atas arahan bekas Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ditanya sama ada PAC mempunyai tempoh tertentu untuk melengkapkan siasatan, Ronald berkata tiada tempoh masa ditetapkan kerana terdapat tiga kes sedang disiasat pihaknya ketika ini; dana bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bernilai kira-kira RM18 bilion, projek marina awam dan siasatan semula isu 1MDB. - Bernama