Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Azmi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan berlaku tumpahan bahan kimia di tingkat satu bangunan itu pada 12 tengah hari ini.

"Tiga jentera termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan dan mendapati bahan yang dimaksudkan itu bukanlah bahan kimia sebaliknya bahan pencuci lantai.

"Pasukan Hazmat turut membuat pemeriksaan rapi dan pembersihan bagi memastikan tiada sebarang bahan kimia di situ sebelum menyerahkan kepada pihak penyelenggaraan Komtar untuk tindakan selanjutnya," katanya di sini hari ini.

Azmi berkata, bau yang kuat itu menyebabkan orang ramai di situ panik dan terus menghubungi pihak bomba memaklumkan terdapat tumpahan bahan kimia.

Sementara itu, seorang saksi Abdul Rahim Karim, 41, berkata, beliau datang ke Komtar kerana terdapat urusan di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan terkejut apabila terhidu bau bahan kimia yang kuat di tingkat satu ketika mahu naik ke tingkat tiga bangunan tersebut.

"Waktu itu ramai orang turut mengadu perkara yang sama iaitu bau bahan kimia yang kuat sebelum ada yang menghubungi pihak bomba untuk membuat pemeriksaan kerana bimbang jika ia betul-betul bahan kimia," katanya. - Bernama