Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, antara produk yang terlibat adalah produk Ori Herbs Coffee Marketing iaitu Dnars Yellow Gold Collagen yang mengandungi merkuri.

Katanya, produk Sejagat Global Resources iaitu Moleek Skincare Anti Pigmentation Cream Plus, produk Onew Cosmetics iaitu Dnars Day Cream serta produk Arriana Rose Beauty Rersources iaitu Luffiya Night Cream 1 dan 2 pula dikesan mengandungi hydroquinone dan tretinoin.

Noor Hisham berkata, penjual dan pengedar produk-produk kosmetik tersebut diberi amaran supaya menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

"Penjual diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya.

Katanya, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," tambahnya. - K! ONLINE