Setiausaha Bahagian Semakan Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Yusniati Ishak berkata, semakan boleh dibuat di kaunter pameran SPR yang akan dibuat selama 14 hari sehingga 13 Ogos ini membolehkan orang ramai menyemak dan membuat bantahan terhadap daftar pemilih tersebut.

"SPR menggalakkan orang ramai supaya menyemak nama dalam senarai pemilih berkenaan, kita takut jika mereka sudah memohon tetapi tidak membuat semakan dan apabila nama tertinggal mereka akan menyalahkan SPR.

"Untuk pemilih tempatan yang hendak menyemak daftar pemilih bagi memastikan orang yang mendaftar tersebut bukan dari kawasan tersebut juga boleh berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberikan taklimat khas berkaitan urusan penyediaan rang daftar pemilih tambahan setiap suku tahun kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.

Menurut Yusniati, antara tempat pameran bagi rang daftar pemilih itu ialah di Menara SPR di sini, 14 pejabat pilihan raya negeri, pejabat pos dan premis awam seperti premis kerajaan, pejabat daerah, dewan serbaguna dan balai raya. - K! ONLINE