Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkara itu disahkan menerusi keputusan ujian sampel sumber air dari kawasan terbabit yang dikeluarkan secara rasmi pada 12 Jun lalu oleh Jabatan Kimia.

"Satu lagi persampelan dijalankan pada 12 Jun lalu pula mendapati tiada pencemaran daripada sisa ladang kelapa sawit menerusi penggunaan dua pestisid dan herbisid. Keputusan ini baru sahaja saya terima pagi ini.

"Jabatan Alam Sekitar turut mengesahkan tidak terdapat sebarang kejadian pelepasan sisa dari perlombongan manganese di Aring 10 yang terletak tiga kilometer dari perkampungan Orang Asli Kuala Koh," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Wan Azizah meluangkan masa membuat tinjauan di pusat operasi di Felda Aring 10 selain menyampaikan bantuan kepada masyarakat Orang Asli Suku Batek di situ.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy serta Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar. - K! ONLINE