Jarak penempatan Kampung Aring 5 ke Kampung Kuala Koh terletak  kira-kira 30 kilometer jika melalui jalan hutan serta berjalan kaki pula selama empat jam.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA) Kampung Aring 5, Rama Batu berkata, sebelum kematian mengejut berlaku di Kampung Kuala Koh, penduduk sering berulang-alik ke kampung itu untuk berjumpa dengan ahli keluarga, saudara dan kenalan mereka.

Katanya, masyarakat kampungnya juga turut risau dengan penyakit berkenaan yang dikatakan boleh berjangkit menerusi udara.

“Biarpun penularan penyakit itu berlaku sejak kira-kira sebulan lepas dalam kalangan Orang Asli di Kuala Koh, namun sehingga kini tiada penduduk Aring 5 yang mengalami penyakit tersebut walaupun mereka kerap ke kampung itu.

“Kebanyakan penduduk hanya demam biasa dan kami akan meminta penduduk yang sakit agar cepat-cepat membuat rawatan di klinik atau hospital sekiranya sakit serius,” katanya ketika ditemui di Kampung Aring 5, di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Asrul Hussin, 24, berkata, dia juga sudah menasihatkan ahli keluarga dan penduduk kampung supaya tidak lagi berkunjung ke Kampung Kuala Koh sehinggalah pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu.

Katanya, penduduk di Kampung Aring 5 mengamalkan gaya hidup lebih moden berbanding penduduk di Kuala Koh apabila tinggal di rumah yang disediakan pihak kerajaan dan sebilangan kecil sahaja tinggal di rumah tradisional.

“Kita mempunyai ramai ahli keluarga di Kampung Kuala Koh dan turut bimbang jika jangkitan penyakit itu merebak hingga ke sini.

“Kita juga berharap agar petugas Klinik Kesihatan Aring 1 datang secara kerap ke kampung ini sekurang-kurangnya dua kali dalam sebulan kerana kebanyakan penduduk sukar untuk ke klinik kerana jarak jauh,” katanya.

Isnin lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengeluarkan arahan larangan terhadap orang ramai daripada mamasuki perkampungan masyarakat Orang Asli itu atas alasan kesihatan kerana jangkitan kuman paru-paru mudah merebak menerusi udara.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan dua daripada 14 kematian yang melibatkan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh dalam tempoh sebulan lalu berpunca daripada jangkitan paru-paru, namun punca sebenar kematian akan diketahui hanya setelah beberapa ujian yang dilakukan selesai dalam masa terdekat. - K! ONLINE