Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kesemua mayat ini yang ditemui polis telah menjalani proses bedah siasat yang dilaksanakan pasukan forensik pada 17 dan 18 Jun lalu.

"Bagaimanapun keputusan terhadap ujian toksikologi, logam berat dan entomologi masih belum diperolehi.

"Sehingga semalam, tiada kes kematian baru dilaporkan dan kes kematian kekal tiga kes, yang mana ketiga-tiga kes ini telah disahkan measles melalui ujian makmal. Hasil bedah siasat oleh pasukan forensik juga mengesahkan kematian bagi tiga kes ini berpunca dari jangkitan dan komplikasi measles," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Port Dickson di sini, hari ini.

Tambahnya, di Kelantan sehingga 5 Julai lalu, seramai 48 kes masih dirawat, di mana 46 di wad isolasi manakala dua di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, kesemua yang dirawat berada dalam keadaan stabil, manakala 53 kes yang bergejala ringan ditempatkan di PLKN Etnobotani, Gua Musang.

Sementara itu di Terengganu, seramai lima kes masih dirawat di wad isolasi Hospital Hulu Terengganu, manakala di Pahang tiada kes baharu.

"Kita ingin menjelaskan bahawa wabak yang berlaku ini adalah terkawal," katanya.

Sejak wabak ini dilaporkan pada 3 Jun sehingga 5 Julai lalu, kumulatif kes bergejala yang dilaporkan sebanyak 173 kes, sebanyak 147 kes berlaku di Kelantan termasuk tiga kematian, Terenggnu (18 kes), dan Pahang (8 kes).

Daripada jumlah tersebut, 82 kes disahkan measles melalui ujian makmal. - Bernama