Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, rangka manusia itu ditemukan bertaburan atas tanah dan sebahagiannya lagi berada di atas pokok.

"Buat masa ini, polis tidak membawa keluar rangka itu sebaliknya, kawasan itu akan ditandakan sebagai lokasi pertama penemuan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sebelum ini dilapor berkata, kementeriannya bersama agensi lain akan cuba mengenal pasti lokasi 12 mayat Orang Asli yang dikatakan dikebumikan selepas mati akibat penyakit yang tidak dapat dipastikan untuk menjalankan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mereka.

Hasanuddin berkata, operasi mengesan lokasi kubur dan persemadian itu, membabitkan lebih 30 anggota polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan bantuan Orang Asli di situ, ditamatkan pada pukul 5.30 petang tadi dan akan disambung pagi esok.

Hasanuddin berkata, tiga kumpulan digerakkan dalam operasi berkenaan yang turut dibantu Unit Forensik, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan beberapa agensi lain.

"Bagi proses membawa rangka manusia itu akan diputuskan Unit Forensik kerana fokus utama sekarang untuk mengesan lokasi kubur yang lain," katanya. - Bernama