Pengarah Bahagian Perlaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Azizan Abu Taat berkata, pihaknya akan menjalankan lapan kali eksesais persampelan seperti itu bagi mendapatkan keputusan tepat sama ada tercemar atau tidak.

“Ini merupakan kali ketiga eksesais ini dilakukan dan memfokuskan kepada (dakwaan) pencemaran air. Agensi-agensi lain banyak membantu dalam proses ini dan kita amat berpuas hati dengan kesungguhan mereka bagi memastikan penduduk Orang Asli Kuala Koh mendapat bekalan air bersih.

“Lima lagi proses persampelan ini dijangka selesai pada pertengahan Julai nanti. Keputusan konklusif daripada semua sampel itu akan siap seawal penghujung bulan Julai,” katanya ketika ditemui selepas proses pengambilan sampel tersebut di sini hari ini.

Terdahulu Azizan sempat melihat sendiri kawasan tadahan air bukit atau air tandak berhampiran Kampung Kuala Koh yang disalurkan ke perkampungan terbabit.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kimia, Mohd Zaini Abdul Rahman; Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Kelantan, Che Abdul Rahman Jaafar; Pegawai Kesihatan Daerah Gua Musang, Dr. Mohamad Rafiq Mohd. Kasri dan Presiden Sahabat Jariah Malaysia, Johan Halid.

Agensi-agensi yang terlibat termasuk media mengambil masa selama 40 minit berjalan kaki ke lokasi air tandak berkenaan dengan dipandu arah oleh Tok Batin Kampung Kuala Koh, Mohamad Pokok.

Azizan berkata, pihaknya mendapati punca air tersebut terletak sejauh dua buah bukit dari sebuah kawasan perlombongan mangan seperti yang didakwa menjadi punca pencemaran.

“Ada perlombongan (berhampiran) dan kita melalui dua buah bukit baru sampai ke sini. Saya belum mahu buat spekulasi namun ia bergantung kepada keputusan yang dikeluarkan daripada Jabatan Kimia.

“Lapan eksesais pengambilan ini dilakukan bagi mendapat keputusan bergantung kepada cuaca semasa sama ada semasa hujan atau panas. Hari ini sampel diambil dari empat sumber air iaitu air tandak, air sungai, air sambungan dan air telaga,” katanya.

Pihaknya turut menyeru agar semua pihak mendengar nasihat agensi-agensi terlibat yang mempunyai kepakaran dalam bidang tugas masing-masing.

Sementara itu, Mohamad berkata, dia berpuas hati dengan tindakan agensi berkenaan yang mengambil sampel secara berkala bagi memastikan sumber bekalan air penduduk terjamin kebersihannya.

“52 keluarga Orang Asli suku kaum Batek di sini menggunakan sumber air tersebut bagi meneruskan kehidupan harian.

“Air tandak ini antara sumber air utama kami di mana punca airnya diambil dari mata air di atas bukit sebelum disalirkan ke kampung,” katanya. -K! ONLINE