Solat hajat itu diadakan di dalam sebuah khemah di Felda Aring 10, selepas mereka tidak dibenarkan masuk ke Kampung Kuala Koh untuk menghulurkan bantuan makanan dan ubat-ubatan. 

Antara NGO terbabit ialah Jabatan Amal Negeri Kelantan, Yayasan Amal Malaysia Negeri Kelantan, Kembara Dakwah Kelantan dan Sukarelawan Rakyat Kuala Krai. 
    
Ketua misi Kembara NGO Kelantan, Nazman Ibrahim berkata, pihaknya datang bukan untuk mencari publisiti sebaliknya memberi bantuan kemanusian.
     
Katanya, bantuan seperti makanan, air mineral dan khemah itu adalah kali kedua dihulurkan kepada Orang Asli suku kaum Batek yang berdepan penyakit jangkitan kuman. 
    
“Pada dua hari lepas kami sudah mengagihkan bantuan, tetapi hari ini ditahan dan tidak dibenarkan masuk ke lokasi Kampung Kuala Koh.
    
“Kami tiba di sini pada pukul 9.45 pagi lagi dan terkandas di sini kerana tidak dibenarkan masuk kerana jalan disekat kepada orang awam," katanya. 
    
Nazman berkata, disebabkan halangan itu ahli NGO terbabit meluangkan masa menunaikan solat hajat untuk memudahkan urusan dan memohon kaum Orang Asli di kampung dalam keadaan selamat. 

Sementara itu, Presiden Kembara Dakwah Kelantan, Mohd. Khalid Mat Zali pula berkata, badan NGO akan menghulurkan bantuan sekadar yang termampu untuk Orang Asli.  
 
Katanya, pihaknya sudah berkunjung ke kampung itu sebanyak tiga kali untuk melakukan aktiviti bersama masyarakat Orang Asli Batek Kuala Koh.

“Kita sebagai NGO amat perihatin dengan keadaan yang berlaku dan bersedia menghulurkan bantuan makanan dan ubat-ubatan seperti yang diperlukan. - K! ONLINE