Tinjauan di Kampung Kuala Koh di sini hari ini mendapati, kira-kira 50 penduduk yang membina bangsal dan khemah di pinggir Sungai Pertang sejak sebulan lalu, telah meninggalkan khemah mereka.

Difahamkan, sebahagian mereka telah pulang ke kampung asal dan telah lari ke dalam hutan.

Bagaimanapun, masih terdapat lagi barangan dan keperluan mereka ditinggalkan di dalam khemah itu.

Seorang warga emas Orang Asli, Bidah Ganjong, 70, berkata, mereka akan meninggalkan rumah tradisional yang dibina masing-masing di kampung itu dan akan pulang semula dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan.

Katanya, pergerakan mereka hanya berjalan kaki di dalam hutan dan berakit melalui sungai untuk mencari makanan.

“Kita sudah biasa berpindah untuk mencari rezeki. Kami pernah tidur di dalam hutan berbulan-bulan sebelum kembali pulang ke rumah.

“Kami berasa ‘panas’ dan tidak seronok apabila hanya duduk di satu tempat sahaja,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Pinang Rumbai, 61, berkata, biarpun kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sudah membina kira-kira 15 buah rumah batu untuk mereka, namun mereka memilih untuk hidup di rumah yang dibina dengan sumber hutan.

Katanya, masyarakatnya juga suka hidup secara berpuak-puak dan bukan semua kaum itu mudah menerima segala teguran.

“Di sini kira-kira 50 peratus sahaja penduduk kaum itu beragama Islam dan yang lain bebas dengan cara hidup sendiri.

“Walaupun penyakit jangkitan paru-paru menyerang kampung ini sehingga mengakibatkan kematian penduduk, namun mereka masih lagi suka berpindah ke dalam hutan,” katanya. - K! ONLINE