Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, syarikat itu memohon untuk tempoh kebenaran melombong dipanjangkan dan ia masih dalam pertimbangan kerajaan.

"Sebenarnya kita pernah keluarkan lesen kepada satu syarikat, bukan lombong besi tetapi mangan yang tidak menggunakan air dan ia memohon (lesen) dipanjangkan. 

"Kita sedang perhati laporan akhir itu dan membuat kajian, kalau tak ikut kepatuhan kepada peraturan maka Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sudah semestinya akan bertindak," katanya selepas majlis Rumah Terbuka Pas Kelantan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di sini hari ini.

Ahmad diminta mengulas dakwaan wujud aktiviti perlombongan haram berhampiran kawasan penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang yang kini berdepan krisis jangkitan radang paru-paru.

Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan amat simpati dengan nasib yang menimpa penduduk Orang Asli tersebut dan melalui mesyuarat pada 10 Jun lalu telah mengarahkan agar kawasan itu ditutup kepada orang awam.

"Hanya pasukan keselamatan dan kesihatan sahaja yang dibenarkan masuk ke kawasan yang terkena jangkitan kuman pernafasan malah polis juga sudah mengisytiharkan ia sebagai zon merah.

"Maknanya untuk sebarang bantuan mesti dilakukan menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan sebarang kenyataan berhubung apa berlaku hanya dibenarkan kepada petugas keselamatan sahaja supaya tindakan seragam.

"Kita sedang lihat dengan penuh tanggungjawab bahawa mereka ini dibantu sepenuhnya, apa pun kita tunggulah keputusan kajian dibuat untuk tindakan selanjutnya," katanya. - K! ONLINE