Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, mereka mula berpindah berulang kali dari satu tempat ke tempat lain dalam hutan kampung itu.
     
Katanya, perpindahan mereka itu berlaku selepas terdapat ahli keluarga dan jiran mereka meninggal dunia.

“Kehilangan penduduk di kampung itu adalah kebiasaan kerana mereka suka bergerak dan tidak suka tinggal di satu tempat secara statik.

“Bagaimanapun, Orang Asli itu akan kembali semula ke khemah dan menjalani kehidupan biasa mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hashim Alang berkata, penduduk Orang Asli Batek yang separa nomad itu boleh menjalani hidup dan tidur beralaskan daun dan sumber kayu hutan.

Katanya, kebanyakan mereka hanya menggunakan pancang kayu, kanvas, plastik, daun cucuh dan daun bertam untuk membina bumbung sebagai tempat berteduh mereka.
“Disebabkan itu apabila kita pergi ke khemah perpindahan mereka sudah kosong dan mereka melarikan diri secara sementara di dalam hutan.
     
“Kebanyakan rumah bawah Program Bantuan Rumah (PBR)  yang dibina JAKOA di kampung itu juga sudah lama ditinggalkan mereka,” katanya.

Hashim Alang juga memaklumkan hampir semua penduduk kampung itu sudah diberi rawatan bagi mencegah mereka daripada terkena dijangkiti penyakit kuman pada paru-paru.

Katanya, setakat ini juga belum ada lagi kes terbaharu dilaporkan dan keadaan Orang Asli yang masih menerima rawatan di Hospital Gua Musang dan Kuala Krai terkawal.

Akhbar ini, hari ini melaporkan kira-kira 50 penduduk Orang Asli Batek telah membina bangsal dan khemah di pinggir Sungai Pertang sejak sebulan lalu, telah meninggalkan khemah mereka.

Sebahagian mereka telah pulang ke kampung asal dan telah lari ke dalam hutan.

Bagaimanapun, masih terdapat lagi barangan dan keperluan mereka ditinggalkan di dalam khemah itu. - K! ONLINE