Pasukan Gerakan Am (PGA) dilihat menjaga laluan masuk utama ke penempatan masyarakat tersebut di Felda Aring 10 di sini.

Selain badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak agensi kerajaan negeri, pengamal media turut dilarang memasuki kawasan itu.

Difahamkan sebanyak dua buah trak yang membawa sepasukan PGA telah bergerak masuk bagi melakukan operasi pencarian 12 mayat Orang Asli yang dikuburkan secara adat di kawasan itu.

Kosmo! hari ini melaporkan pihak polis sudah mendapat maklumat awal mengenai lokasi lapan mayat yang ditanam di radius tiga kilometer dari khemah yang didirikan oleh penduduk Orang Asli suku kaum Batek.

Empat lagi mayat pula dikebumikan di Hulu Sungai Lebir.

Kesemua 12 mayat tersebut terpaksa digali semula untuk dibedah siasat bagi mencari punca kematian mereka yang dikatakan meninggal secara mengejut sejak 2 Mei lalu hingga 7 Jun.

Setakat ini, sebanyak 101 kes dicatatkan di kawasan termasuk dua kes kematian yang berpunca daripada jangkitan pneumonia seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad semalam mengesahkan seramai empat mangsa sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai termasuk seorang di HRPZ II.

Daripada jumlah itu, seramai 40 pesakit dirawat sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Ciku dan Aring manakala 22 pesakit masih berada di wad biasa di Hospital Gua Musang.

Selain itu, 18 pesakit berada di was biasa di Hospital Kuala Krai, seorang di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan 14 kes di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (RIKA). - K! ONLINE