Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, keputusan itu dibuat 10 Jun lepas bersama semua agensi berkaitan dengan mengambil kira pelbagai perkara termasuk risiko jangkitan.

"Kita telah putuskan tiada siapa yang dibenarkan memasuki kawasan berlaku jangkitan dengan kerjasama polis dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA).

"Begitu juga dari segi bantuan mestilah melalui pihak JAKOA dan hanya petugas keselamatan dibenarkan memasuki kawasan itu supaya kita dapat seragamkan semua tindakan. Saya rasa perkara itu bukan menjadi isu lagi," katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Pas Kelantan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri bersimpati dengan apa yang dialami suku Batek di Kuala Koh ketika ini.

"Kita lihat dengan penuh tanggungjawab bahawa mereka akan dibantu oleh JAKOA. Cuma kita tunggu keputusan kajian untuk tindakan seterusnya," katanya.

Dalam pada itu, mengulas berhubung aktiviti perlombongan, Ahmad berkata, kerajaan negeri sebelum ini pernah mengeluarkan lesen kepada syarikat perlombongan bijih mangan di Kuala Koh yang dilombong tanpa menggunakan air.

Katanya, syarikat sama memohon untuk memanjangkan tempoh perlombongan bagaimanapun, kerajaan negeri masih meneliti perkara itu.

"Kita sedang perhatikan laporan terakhir berhubung permohonan itu. Kita sedang buat kajian. Jika ia tidak mematuhi peraturan, Pejabat Tanah dan Galian negeri akan bertindak," katanya. - Bernama