Menurut sumber, arahan tersebut dikeluarkan bermula pagi ini dan hanya petugas-petugas khas terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Forensik sahaja dibenarkan masuk ke lokasi berkenaan.

Difahamkan, pasukan petugas khas tersebut memulakan operasi bermula pukul 8 pagi bagi tugas mengesan dan menggali kubur 12 mayat Orang Asli suku kaum Batek yang meninggal dunia secara mengejut sejak 2 Mei lalu.

Kosmo! hari ini melaporkan pihak polis sudah mendapat maklumat awal mengenai lokasi lapan mayat yang ditanam di radius tiga kilometer dari khemah yang didirikan oleh penduduk Orang Asli suku kaum Batek.

Empat lagi mayat pula dikebumikan di Hulu Sungai Lebir.

Kesemua 12 mayat tersebut terpaksa digali semula untuk dibedah siasat bagi mencari punca kematian mereka. - K! ONLINE