Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr. Zaini Hussin berkata, pesakit berumur tiga tahun itu masih dalam rawatan di Wad Intensif Kanak-Kanak di HRPZ II dan didiagnosis mengalami broncopneumonia selain mempunyai masalah kurang zat makanan.

Beliau berkata, pada masa yang sama juga jabatan ingin memaklumkan pada semalam pasukan dari Pejabat Kesihatan Daerah telah melakukan carian kes secara aktif di Kuala Koh dan menemui 54 kes lagi yang mempunyai gejala demam dan batuk. 

"Kes-kes ini telah dibawa Klinik Kesihatan Chiku 3 untuk pemeriksaan dan rawatan. Sebanyak 25 kes dirawat sebagai pesakit luar, 20 orang dirujuk ke Hospital Gua Musang, 6 orang rujuk ke Hospital Kuala Krai dan tiga kes ditempatkan di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (RIKA). 

"Satu kes yang dirujuk ke Hospital Kuala Krai telah dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II. Jumlah penduduk yang telah disaring sehingga semalam adalah 155 orang dengan 83 mempunyai gejala," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Katanya, mengenai kedudukan kes sekarang ialah seramai 37 orang dirawat sebagai pesakit luar, 32 orang dirawat di Hospital Gua Musang, 10 orang di Hospital Kuala Krai, seorang di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan tiga orang di RIKA.

Tambahnya, berdasarkan gejala klinikal dan cara jangkitan, kes-kes ini disyaki mendapat jangkitan saluran pernafasan atau pneumonia.  

Dr. Zaini berkata, pada masa ini, aktiviti pencegahan dan kawalan telah dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang dengan mengadakan pendidikan kesihatan seperti ceramah dan edaran risalah berkaitan penyakit berjangkit dan kebersihan diri serta persekitaran.

Katanya, penekanan juga diberikan berkaitan kepentingan pengasingan penduduk yang mempunyai gejala dan carian kes secara aktif masih diteruskan di perkampungan Orang Asli ini. 

"Jabatan Kesihatan juga menasihatkan supaya pergerakan masuk individu ke perkampungan itu dihad bagi mengelakkan penyebaran penyakit.

"Kita juga akan terus bekerjasama dengan semua agensi yang terlibat dalam pengurusan pencegahan dan kawalan kejadian ini," katanya. - Bernama