Mereka mendakwa, sebelum ini tuduhan itu sering ditujukan kepada penduduk Orang Asli di Kampung Kuala Koh yang masih mengamalkan kehidupan separa nomad.

Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA) Kampung Aring 5, Asrul Hussin berkata, tidak semua kaumnya bersikap pengotor dan tidak pandai menjaga kebersihan diri.

Katanya, pihak luar termasuklah badan bukan kerajaan (NGO), sepatutnya mencari jalan penyelesaian berhubung masalah yang dihadapi kaum Batek di kampung terbabit.

“Kita tidak menafikan ada sebahagian penduduk Batek yang masih bersikap kolot apabila tidak menerima kemajuan.

“Saya juga ada mendengar kakitangan kerajaan yang datang ke kampung ini turut menyuarakan perkara sama sehingga menyinggung perasaan kaum kami.

“Bagaimanapun, janganlah pula membuat tuduhan keterlaluan secara umum kerana kebanyakan belia Orang Asli Batek sudah mengamalkan cara hidup moden seperti di Kampung Aring 5,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk Orang Asli Batek, Harun Chin, 45, berkata, pihak kerajaan perlu lebih prihatin terhadap kebajikan masyarakat Orang Asli terutamanya kaum Batek yang masih lagi ketinggalan jauh.

Katanya, suku kaum Batek di negeri ini masih lagi ketinggalan apabila mereka berhijrah sehingga ke negeri Terengganu dan Pahang untuk meneruskan kehidupan.

“Kami berharap krisis kesihatan yang berlaku di Kampung Kuala Koh membuka mata banyak pihak agar tidak terus meminggirkan kaum Batek khususnya dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan dan kemudahan asas,” katanya. - K! ONLINE