Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, proses pengeluaran itu dilakukan oleh pasukan forensik  bergantung kepada keadaan cuaca hari ini.

Katanya,  serpihan tulang itu dipercayai adalah mayat yang ‘dikebumikan’ secara adat atas pokok terbabit selepas kematian berlaku.

"Sekiranya berlaku hujan lebat dan mendatangkan risiko kepada pasukan forensik pihaknya terpaksa menghentikan sementara proses berkenaan.

"Jika keadaan cuaca baik proses pengeluaran dan pemindahan keluar rangka tulang tersebut akan dilakukan seperti biasa  dan dijangka dilakukan petang ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Himpunan Bulanan Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Tambahnya, proses berkenaan juga mengambil masa yang lama melibatkan kira-kira lima hingga enam jam berikutan perjalanan yang jauh dimana mereka terpaksa menaiki bot dan tidak termasuk proses penggalian serta pemindahan.

"Alhamdulillah kita telah menjumpai kesemua mayat yang sepertimana dilaporkan oleh Orang Asli yang melibatkan 12 mayat.

"Selepas dibawa keluar, pihaknya akan mengumpul kesemua tulang rangka dan badan mayat sebelum disahkan oleh waris berdasarkan sampel asid deoksiribonukleik ( DNA) oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan pasukan forensik," katanya. - K! ONLINE