Timbalan Pengarah Operasi Maritim Wilayah Selatan Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata operasi membabitkan 70 penyelam itu terpaksa dihentikan setelah pencarian  berulang kali dalam kapal berkenaan gagal menemui mangsa.

Bagaimanapun operasi SAR kini tertumpu di kawasan permukaan laut dengan bantuan helikopter untuk meninjau dari udara selain melibatkan Badan Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS) yang akan melakukan koordinasi di kawasan perairan Indonesia.

"Operasi SAR kini diperluaskan ke 360 batu nautika persegi dari lokasi kejadian melibatkan pelbagai agensi seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Laut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di lokasi Pos Kawalan SAR Pantai Leka di sini hari ini.

Setakat semalam, lima lelaki ditemui selamat manakala dua mayat masing-masing lelaki dan perempuan turut ditemukan, kesemua mereka disahkan kru kapal  terlibat dan warga China.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Muar Dr Noorhaida Ujang berkata dua mayat yang dijumpai di luar kapal, juga dipercayai kru kapal tersebut, masih belum dikenal pasti identiti dan sedang menunggu proses pengecaman mayat oleh keluarga mangsa dan pemilik kapal selesai.

Memasuki hari kelima kejadian, nasib sembilan daripada 18 kru kapal yang terlibat masih belum diketahui hingga kini.

Justeru, komuniti maritim dan orang awam yang melihat atau menjumpai atau mempunyai maklumat mengenai mangsa diminta segera melaporkan kepada Pasukan SAR yang berada di lokasi operasi atau Pusat Operasi Maritim Pangkalan Batu Pahat pada talian hotline 07- 4344020 atau 999. - Bernama