Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, misi pencarian mangsa kini meliputi sepanjang Batu 6 hingga ke Batu 4 pantai berkenaan yang disertai seramai 20 anggota.

"Empat bot dan jet ski ditempatkan di lokasi untuk digunakan dalam misi SAR dan setakat ini kita belum menjumpai mangsa. Kita juga meminta bantuan daripada nelayan tempatan bagi misi mencari ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain bomba, misi SAR itu turut disertai Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA), Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Pada 11.55 pagi tadi, seorang peserta triathlon dikenali sebagai Yuen Chi Yuen, 42, warganegara Hong Kong dilaporkan hilang selepas mangsa gagal melaporkan diri kepada urusetia selepas menyertai acara berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Seputi Superintendan Mohd. Faisal Mohd. Noor dalam kenyataan di sini berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan Yuen atau lebih dikenali sebagai Jeffrey daripada isteri mangsa, Chan Wai Yong, 37.

 "Isteri mangsa yang ketika itu sedang bertugas sebagai Pegawai Teknikal PDIT dimaklumkan oleh seorang lelaki bahawa suaminya tidak kelihatan di pantai selepas acara renang tamat. Beliau kemudian mencari mangsa di laluan perlumbaan, kawasan makan dan bilik hotel yang diinap mangsa namun tidak menjumpainya.

"Setelah puas mencari, isteri mangsa mengesyaki bahawa mangsa telah lemas. Beliau seterusnya datang ke Balai Bergerak di Admiral Cove membuat laporan polis," katanya.

Mohd. Faisal berkata ketika acara renang dilangsungkan, keadaan laut ketika itu mengalami air pasang.

Justeru katanya, tindakan mencari mangsa telah dilancarkan di lokasi kejadian mangsa dilaporkan hilang. 

Selain Yuen, seorang lagi peserta PDIT 2018 Tharm Wei Wong, 39, yang berasal dari Pulau Pinang turut ditemui lemas semasa berenang di pantai Port Dickson ketika menyertai acara renang. - Bernama