Emas pertama Malaysia hari ini diperoleh menerusi Sarvinder Kaur Joginder Singh dalam acara 800 meter (m) dengan catatan masa dua minit 14.13 saat (s).

Sarvinder berjaya menewaskan Swe Lee Myint dari Myanmar yang memenangi pingat perak dengan catatan masa 2:15.19s dan pemenang tempat ketiga Koniel Donna dari Papua New Guinea (2:15.93s).

Emas kedua Malaysia hadir menerusi Norliyana Kamaruddin yang mengungguli acara heptatlon dengan pungutan 5,012 markah daripada tujuh disiplin disertai.

Tempat kedua acara itu menjadi milik atlet Vietnam, Nguyen Linh Na yang mengumpul 4,793 markah manakala pingat gangsa pula dimenangi Sarah Dequinan dari Filipina dengan kutipan 4,574 mata.

Dua pingat gangsa Malaysia pula hari ini berjaya disumbangkan Muhammad Aqil Yasmin dalam acara 200m dan V. Royson (800m). - K! ONLINE