Bapanya, Zulkifli Mohamad, 38, berkata, Nur Zulaikha menjalani pembedahan tersebut di Hospital Sultanah Nur Zahirah sekitar pukul 10 pagi dan berakhir kira-kira satu jam kemudian.

"Selepas kejadian yang menimpanya lapan hari lalu, ini merupakan pembedahan kedua buat Nur Zulaikha dengan menampal kulit daripada paha ke bahagian bahu kirinya.

"Alhamdulillah, keadaannya juga semakin baik dan ceria kerana dia sememangnya seorang kanak-kanak yang suka bercakap," katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Kosmo! pada 14 Julai lalu melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun terputus tangan kirinya hingga paras bahu akibat tersepit pada rim motosikal di Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payong, Marang.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.30 malam itu menyebabkan mangsa hilang tangan kiri apabila ia gagal disambung semula selain mengalami kecederaan pada tengkuk dan tumit sebelah kanan.

Kejadian berlaku apabila baju sejuk bersaiz orang dewasa dipakai Nur Zulaikha tersangkut pada rim motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang oleh sepupunya sebelum mangsa terjatuh dan tangan kirinya tersepit. - K! ONLINE