Nur Hannah amat teruja apabila karyanya terpilih menyertai pameran ke-206 RI dari 6 hingga 20 April ini setelah beberapa kali permohonan penyertaannya ditolak sebelum ini.

Pelukis berusia 30 tahun itu juga berharap lukisan potret saudara lelakinya  itu, yang akan diperagakan pada pameran berprestij berkenaan, akan merintis jalan bagi karyanya mendapat pengiktirafan dalam industri seni.

"Pameran ini menjadi platform bagi saya untuk membawa karya  berkenaan ke negara lain, termasuk Malaysia. Ia juga memberi keyakinan kepada saya untuk terus berkarya dan menghasilkan lebih banyak lukisan, walaupun sibuk dengan kerjaya.

"Saya telah kemukakan lukisan potret saya itu kepada pihak pemilih selepas menamatkan pengajian beberapa tahun lepas, tetapi tidak terpilih. Tahun ini, saya cuba sekali lagi kerana saya rasa saya ada sesuatu yang patut dikemukakan," kata penyunting video sambilan itu kepada Bernama di Wisma Bernama, di sini hari ini.