Pengumuman mengenai pelantikan itu dibuat boleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada sidang akhbar di sini sebentar tadi.

“Saya ingin mengumumkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah meluluskan pelantikan Pengerusi Eksekutif MAVCOM yang baharu, Dr. Nungsari Ahmad Radhi.

“Seiring dengan dasar ketelusan, elauannya adalah sebanyak RM15,000 iaitu sama dengan Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya.

Nungsari dilantik bagi menggantikan Tan Sri Jeneral (B) Abdullah Ahmad yang melepaskan jawatannya awal bulan ini.

Nungsari ialah Pengarah Urusan Prokhas Sdn. Bhd., sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan dan merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Pengurusan Danaharta Nasional Bhd., Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd. dan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd. 

Beliau juga menjawat jawatan sebagai Pegawai Utama di DanaInfra Nasional Bhd. dan merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pinjaman Perumahan Sektor Awam.

Sepanjang kerjaya Nungsari selama 30 tahun, beliau telah berkhidmat dalam bidang akademik, penasihat korporat, penyelidikan ekonomik, Ahli Parlimen dan penasihat dasar. 

Beliau memegang ijazah kedoktoran PhD dalam bidang Ekonomi daripada Purdue University dan turut menyumbang hasil penulisannya kepada akhbar The Edge sejak tahun 2000. - K! ONLINE