Beliau berkata, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang ingin bedah siasat ke atas sesuatu mayat dijalankan buat kali kedua itu adalah hak mereka.

"Itu hak mereka. Kita yakin dengan profesionalisme pakar patologi di tanah air. Its not shakes our confidence to our pathologist," katanya kepada pemberita selepas melawat Kuil Sri Maha Mariamman di sini, hari ini. 

Boon Chye mengulas  laporan portal berita antarabangsa bahawa ibu bapa remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15,  yang ditemui meninggal Selasa lalu selepas hilang dari resort penginapan di Pantai, Seremban mungkin meminta bedah siasat kedua dilakukan terhadap mayat anak mereka itu.

Menurut laporan Daily Mirror, Maebh Jaseprine Quoirin, 45 dan Sebastian Marie Philipe, 47, sedang membincangkan perkara itu bagi memastikan ahli patologi tidak terlepas sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan kematian Nora Anne.

Daily Mirror menyebut ibu bapa Nora mungkin meminta bedah siasat diadakan di Britain atau Perancis.

Bedah siasat ke atas Nora Anne pada 14 Ogos lalu dikendalikan oleh pakar Patologi dari Hospital Kuala Lumpur, Dr. Siew Sheue Feng bersama Dr. Hanif Mohammad dari Hospital Tuanku Jaafar. 

Hasil bedah siasat mengesahkan remaja itu meninggal dunia disebabkan kebocoran pada usus mungkin akibat kelaparan dan stres. - Bernama