Ketika dihubungi, Mohamad berkata, beliau tidak pernah dihubungi oleh agensi berita berkenaan seperti mana yang dilaporkan.

"Saya tidak pernah bercakap dengan AFP, berkemungkinan paling cepat pun, Ahad untuk mayat itu dituntut.

"Polis dah tiada apa-apa lagi untuk tahan mayat itu dan kami dah bagi kebenaran untuk ia dituntut pada bila-bila masa sahaja, cumanya (mungkin menunggu) proses dokumentasi daripada kedutaan sahaja," katanya.

Media berkenaan melaporkan mayat Nora Anne, 15, telah pun dituntut oleh keluarganya selepas laporan hasil bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah dan menurut laporan itu juga mayat remaja berkenaan akan diterbangkan ke London.

Semalam, Mohamad dalam sidang media mengesahkan Nora Anne meninggal dunia disebabkan kebocoran pada usus mungkin akibat kelaparan dan stres berpanjangan.

Mohamad berkata, hasil bedah siasat mendapati, remaja malang itu mungkin telah meninggal dunia dua hingga tiga hari sebelum mayatnya dijumpai dan tiada tanda-tanda perbuatan jenayah selain remaja itu tidak dirogol.

Mayat Nora Anne ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan tempat remaja anak istimewa itu dilaporkan hilang.

Nora Anne, 15,  disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai oleh keluarganya, pada 8 pagi 4 Ogos. Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu, tiba bersama keluarga di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini. - Bernama