Peguam mewakili keluarga mangsa, Sankara N. Nair berkata, keluarga Nora Anne hanya akan membuat keputusan berkenaan selepas keputusan bedah siasat ke atas mayat mangsa diketahui.

"Kami juga belum berbincang mengenainya. Mungkin kemudian," katanya kepada pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sankara berkata, masih terlalu awal untuk menganggap wujud unsur jenayah berhubung kematian Nora Anne kerana proses bedah siasat masih berlangsung. 

Kata beliau, keluarga gadis itu ketika ini berada dalam keadaan sedih dan trauma disebabkan kehilangan anak perempuan mereka.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, laporan bedah siasat itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Kebiasaannya kematian mengejut memerlukan inkues. Saya akan meminta Peguam Negara mempertimbangkan sama ada inkues diperlukan dalam kes ini," katanya. - K! ONLINE