Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pelantikan tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 19 Jun lalu. 

Menurutnya lagi, Nor Shamsiah dilantik sebagai Gabenor BNM bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Julai 2018 hingga 30 Jun 2023. 

“Nor Shamsiah adalah Timbalan Gabenor BNM dari tahun 2010 hingga 2016. 

“Sebagai Timbalan Gabenor BNM, beliau bertanggungjawab ke atas 
penyeliaan perbankan, insurans dan Takaful, perisikan kewangan dan 
penguatkuasaan, pengurusan bakat, kewangan dan perkongsian perkhidmatan di BNM,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Nor Shamsiah merupakan seorang lepasan University of South Australia dengan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Perakaunan dan seorang Akauntan Bertauliah (CPA).

Beliau memulakan kerjaya di BNM pada tahun 1987 dan pengalaman luas dalam pembentukan pengawalan kehematan, undang-undang, dasar dan garis panduan untuk sektor kewangan.

Selain itu, beliau juga terlibat dalam inisiatif penyelesaian sektor kewangan semasa krisis kewangan Asia pada tahun 2001 hingga 2010.

Sebelum meninggalkan BNM pada November 2016, Nor Shamsiah telah mengetuai siasatan berhubung syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, Nor Shamsiah berkata, beliau akan meneruskan tumpuan untuk melaksanakan mandat bagi menjaga kestabilan kewangan demi kepentingan negara. 

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada kerajaan dan juga Perdana Menteri atas peluang ini

“Saya rasa berbesar hati dan akan menggalas tangunggjawab ini dengan sebaiknya dan bekerja secara sepasukan dengan kakitangan lain di BNM.

“BNM akan meneruskan tumpuan untuk menyampaikan mandat bagi menjaga kestabilan kewangan demi kepentingan negara,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keutamaan beliau selepas pelantikan tersebut, Nor Shamsiah menjelaskan, beliau perlu berbincang dengan para pegawainya sebelum membuat sebarang tindakan. 

“Masih terlalu awal untuk saya nyatakan keutamaan saya kerana sudah dua tahun saya meninggalkan BNM. 

“Berilah saya peluang untuk masuk ke pejabat dan berjumpa dengan pegawai-pegawai terlebih dahulu,” jelas beliau. 

Nor Shamsiah menggantikan Tan Sri Muhammad Ibrahim yang meletakkan jawatan pada awal bulan ini. 

Muhammad mengambil alih tugas daripada Tan Sri Zeti Akhtar Aziz pada 1 Januari 2016 dan sepatutnya berkhidmat selama lima tahun. - K! ONLINE