noorshila
 

“Saya bersumpah demi Allah bahawa saya tidak pernah mengambil satu sen pun duit tujuh orang artis iaitu Encik Mimpi, Liza Abdullah, Rozie Othman, Sheila Mambo, Zul Yahya, Jasmin Ashraff, Ainina Ahmad B dan Aiman Tino sewaktu membawa mereka ke Brunei April lalu.

“Saya juga telah membuat laporan polis pada 4 Disember di Balai Polis Seremban 2 berkenaan kenyataan yang dibuat oleh Lana berkenaan cerita kononnya saya menipu duit artis yang disebarkan olehnya,” katanya pada sidang akhbar khas di Binkhalid by Geo’s, hari ini.

Pada sidang akhbar yang diadakan itu juga dia menjelaskan tidak menendang troli milik Lana sebaliknya hanya menguis sehingga ia bergerak semula ke kiosk milik pelakon itu.

“Ya saya ada bertengkar dengan Lana tapi tidak menendang troli sebaliknya hanya menguis sahaja supaya tidak berada di hadapan kiosk saya,” ujarnya lagi.

Terdahulu, isu perbalahan Lana dan Noorshila yang berlaku di Singapura November lalu telah ditularkan oleh Roslan di akaun Facebooknya menerusi empat buah video berbeza bercerita tentang seorang pelakon dan penyanyi lama bergaduh.

Susulan penyebaran itu, timbul pula isu bahawa Noorshila dan anaknya, Admiena telah menipu duit artis yang dibawa untuk berniaga di Brunei baru-baru ini.

Penyanyi itu juga memberitahu bahawa dia sendiri tidak tahu berapa banyak duit yang kononnya ditipu oleh dia anak-beranak kerana khabar angin itu hanya sekadar cakap-cakap belakang tanpa sebarang aduan jelas kepadanya. - K! ONLINE